Tuesday, June 10, 2014

PENGAKAP LAUT KUMPULAN 14 DI PERSADA ANTARABANGSA (TISJ 2014 )


1-6 Jun 2014 – Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2014 telah diadakan di Kem Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Terengganu. Ahli-ahli Pengakap Laut Kumpulan 14 turut menyertai jambori kali ini. Seramai 33 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring telah berkampung di Kem Tengku Muhammad Ismail, Terengganu.









                Pelbagai aktiviti diadakan seperti memanah, mencanting batik, flying fox, paintball dan sebagainya. Aktiviti tersebut dibahagikan kepada beberapa sektor iaitu Sektor A (Permainan Tradisional ), Sektor B (Kraf Tradisional), Sektor C (Aktiviti Air )dan Sektor D (Aktiviti Darat ) yang kesemuanya berjumlah 25 aktiviti pelbagai sektor. Perasmian disempurnakan oleh  YAB Dato’ Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu. Antara negara yang turut hadir ialah Pakistan, Indonesia, Brunei, Singapura, Hong Kong, Thailand, Ghana dan United Kingdom. Program yang bertemakan ‘Apresiasi Alam’ itu anjuran bersama Kerajaan Terengganu, Majlis Pengakap Negeri Terengganu dan Persekutuan Pengakap Malaysia.













10 Fakta TISJ 2014

1.     Cikgu Ehsan, Wak Senam dan Nadrah Nurfadzlin mengalami keracunan makanan akibat makan Mi Goreng Tasha Shila di Muadzam Shah. Wak Senam hanya keracunan hari pertama sahaja, Nadrah Nurfadzlin hanya muntah-muntah dan Cg Ehsan ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu sehingga 5 Jun.
2.     Enam pelajar mengalami simptom demam dan dirawat di sick bay yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia.
3.     Komunikasi dengan pelajar-pelajar Pendidikan Khas iaitu Allen Lee Chen, Chong Xue Nie dan Mohammad Faiz menggunakan teks melalui telefon bimbit setelah Cg Ehsan ditahan di wad.
4.     Beberapa orang cikgu SMKDPB turut menjengok di Kem Telaga Batin iaitu Cg Ramli, Pn Hjh Saodah, Pn Yanti dan Pn Rabbiatul Adawiah.
5.     Lima orang bekas pelajar SMKDPB juga turut menyertai TISJ dan bersama-sama kami di kontinjen Johor.
6.    Johor mendapat tempat kedua dalam pertandingan Pintu Gerbang di mana proses mengambil buluh dan dibawa ke Terengganu seterusnya mendirikan pintu gerbang dilakukan oleh kontinjen Pontian.
7.      Sebuah lagu khas dicipta untuk kontinjen Pakistan yang berbunyi…”Dil…dil Pakistan…Johor…Johor …Pakistan….”
8.      Cg Ehsan menerima sumbangan daripada Masjid Negara ketika berada di hospital.
9.      Mohd Afiq Rahiman kehilangan wang tunai serta kad pengenalan dan laporan polis dibuat  di Balai Polis Gong Badak.
10.    Masa diambil untuk membeli keropok lekor semasa dalam perjalanan pulang ialah selama 1 jam 30 minit. Hampir kesemua pelajar dan guru-guru turut membeli sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang ke Johor.

Sunday, May 4, 2014

PERKHEMAHAN LENCANA AHLI BOT 2014


24-26 April – Perkhemahan Lencana Ahli Bot  Pengakap Laut telah diadakan di Kem Awal Marin, Rambah yang melibatkan 50 peserta dan 20 orang pemimpin. Pengakap Kumpulan 14 Pontian telah menghantar  5 orang peserta. Perkhemahan yang julung-julung kali diadakan di negeri Johor  oleh Pesekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Unit Laut Daerah Pontian. Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah untuk melatih ahli-ahli pengakap laut supaya dapat mengetahui keselamatan di air, pengendalian bot dan enjin, komunikasi laut, Bosun’s call, simpulan dan sejarah kepelautan. Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah  latihan terapung di air, water confident, latihan menyelamat, isyarat  semaphore, aliran pasang  surut air laut, kod morse, radio amatur, dan ikatan.
Setiap aktiviti yang dijalankan terutamanya aktiviti laut telah dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Pontian yang menghantar dua buah bot dengan kekuatan 8 orang anggota, sementara seorang penyelam bertauliah dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Port Dickson juga turut membantu. Alhamdulillah semua aktiviti yang dirancang berjalan lancar.
Majlis penutupan rasmi ini disempurnakan oleh En Mohammad Hood bin Md Noh, Pegawai PPD Pontian. Beliau turut menyempurnakan pemakaian lencana ahli bot kepada para peserta yang lulus. Turut hadir Tn Hj Maskun ( Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor) dan En Mohd Zaki bin Azman ( Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pontian).
  














PENTARAFAN PENGAKAP RAJA 2014 - WAKIL PONTIAN

22-26 MAC 2014- Pentarafan Pengakap Raja 2014 telah diadakan di Kem Pengakap Jubli Intan, Tg Labuh Batu Pahat Johor. Satu-satunya peserta yang mewakili daerah Pontiah ialah adik Mohd Nashruddin bin Mohd Shah, ahli Pengakap Laut Kumpulan 14, SMKDPB. Beliau yang telah lulus secara 'bersyarat' ketika Ujian Sikap pada 20-22 Februari yang lalu telah menyertai 107 orang calon Pengakap Raja bagi seluruh negeri Johor. Sama-samalah kita mendoakan agar beliau berjaya sebagai Pengakap Raja pada tahun ini. Untuk makluman keputusan rasmi akan dikeluarkan oleh ibu pejabat Pengakap Malaysia dalam tempoh 2-3 bulan dari sekarang.

* Terima kasih buat Pesuruhjaya Pengakap Pontian, En Zaki Azman dan barisan Timbalan Pesuruhjaya Daerah Pontian yang turun ke Tanjung Labuh untuk memberi kata-kata semangat dan perangsang buat calon Pontian.





KEMPORI DAERAH PONTIAN 2014

20-22 MAC 2014 - Satu perkhemahan KEMPORI Pengakap daerah Pontian telah diadakan di SMK Kayu Ara Pasong.  Perkhemahan ini bertujuan memahirkan diri ahli pengakap dengan jenis-jenis ikatan, kawad tongkat, masakan rimba, dan pioneering. Pasukan Pengakap Laut Kumpulan 14 SMKDPB menghantar 8 orang peserta terdiri 2 orang Pengakap Muda dan 6 orang Pengakap Remaja. Mereka diiringi Pn Siti Salwani bt Hamdan.  KEMPORI ini dirasmikan oleh Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor, Tn Hj Yaacob bin  Hj Abd Karim.

















Saturday, March 1, 2014

UJIAN SIKAP PENGAKAP RAJA 2014

20-22 Feb 2014 - Adik Muhammad Nashruddin bin Mohd Shah telah menghadiri Ujian Sikap Pengakap Raja 2014 di Kem Jubli Intan, Tanjung Laboh, Batu Pahat. Beliau merupakan satu-satunya calon yang mewakili Daerah Pontian pada tahun ini. Sepanjang 3 hari beliau diuji kemahiran memasang khemah, pengembaraan, temu duga dan pemeriksaan buku log. Dalam ujian ini beliau LULUS BERSYARAT dan diminta membuat projek Pionering atau Knotting Board sebelum melayakkan beliau menghadiri U Pentarafan Pengakap Raja. Insyaallah kita doakan semoga beliau berjaya sebagai Pengakap Raja Tahun 2014.
 




Sunday, February 16, 2014

KURSUS BUKU LOG DAN LENCANA 2014

8 Februari 2014 – Satu Kursus Buku Log dan Lencana telah diadakan pada pagi ini di SMK Sri Perhentian. Kursus anjuran Persekutuan Pengakap daerah Pontian bertujuan mendedahkan ahli-ahli pengakap kepada bentuk penulisan buku log yang betul. Ceramah ini disampaikan oleh Tn Abu Khan bin Hj Misran – Pesuruhjaya Pengakap Daerah Batu Pahat dan Tn Hj Zulkifli – Penolong Pesuruhjaya Daerah Batu Pahat. Seramai 9 orang peserta yang terdiri daripada 3 orang Pengakap Muda dan 6 orang Pengakap Remaja menyertainya. Kursus ini berakhir pada jam 4.30 petang.













Wednesday, January 29, 2014

KURSUS BUKU LOG DAN LENCANA 2014

29.1.2014 - Untuk makluman ahli-ahli pengakap Kumpulan 14, satu kursus akan diadakan seperti ketetapan berikut:

Nama Kursus : Kursus Buku Log dan Lencana
Tarikh : 8 Februari 2014
Hari : Sabtu
Masa : 7.45 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : SMK Sri Perhentian (SSP)
Bayaran : RM20.00 (tanpa buku skim ) / RM26.00 (termasuk buku skim)

Jika berminat, sila hubungi saya dengan kadar segera.

Terima kasih.
Cg Anuar